Bismillah
Kayseri Airport
Jom ikuti perkembangan perjalanan yang seterusnya! Hari pertama di Turki, kami diterbangkan terus
dari Istanbul ke Kayseri. Destinasi sebenar kami ialah Cappadocia (Kapadokya
dalam bahasa Turki). Sampai sahaja di Cappadocia, kelihatan kawasan yang kurang
disentuh dengan pembangunan, hanya dipenuhi pemandangan alam ciptaan Ilahi.
Subhanallah. Dari jauh sudah kelihatan Gunung Erciyes (Argaeus) yang memutih
diliputi salji.
 |
| Gua yang ditukar menjadi bilik |
Perjalanan
dari lapangan terbang ke tempat penginapan memakan masa lebih kurang sejam. Di
sana kami ditempatkan di dalam gua. Yup. Gua! Bunyinya agak pelik tapi
kebanyakan tempat penginapan di Göreme masih mengekalkan ciri-ciri tradisional
mereka. Benda pertama yang terlintas dalam fikiran saya pada waktu itu hanyalah
kesejukan yang bakal kami hadapi pada malam hari.
Tak banyak yang sempat kami lakukan pada hari pertama di
Cappadocia. Oh sebelum tu… kami disambut dengan layanan yang sangat baik dari
pengurus ‘gua’. Kadir namanya. Kami memulakan perjalanan selepas bersiap ala
kadar. Disebabkan waktu siang yang pendek, kami cuma dibawa melawat kawasan
terdekat seperti kawasan peninggalan gereja lama dan rumah merpati.
Salah satu gereja lama yang ditukar menjadi rumah merpati
Altar dalam salah sebuah chapel
Untuk pengetahuan anda, Cappadocia pada waktu dahulu
adalah salah satu tempat pengembangan ajaran yang kini dikenali sebagai
Kristian. Jadi tidak peliklah jika hampir semua kawasan dipenuhi dengan gereja.
Mengikut maklumat yang kami dapat terdapat tiga peringkat gereja iaitu chapel,
church dan cathedral. Chapel ialah sebuah gereja kecil yang
biasanya dibuka oleh anak murid kepada paderi. Kami sempat melawat beberapa chapel
pada hari pertama. Sesetengah gereja ditukar oleh penduduk tempatan menjadi
rumah merpati sebab itulah ada satu kawasan yang dikenali dengan nama Pigeon
Valley.
Pada waktu
malam, kami berkumpul di sebuah bilik untuk beraktiviti. Teringat pula zaman
sekolah menengah dulu sewaktu bersama dengan saudara pengakap. Walaupun
aktiviti yang dijalankan tidaklah sama seratus peratus akan tetapi masih mampu
menggamit memori silam.
Hari kedua di
Cappadocia dimanfaatkan sepenuhnya dengan bersiar-siar. Perjalanan bermula seawal
jam 9.00. Alhamdulillah semua memberi komitmen penuh. Antara destinasi kami
ialah Underground City. Bunyinya seperti sebuah bandar tetapi ia
sebenarnya rangkaian rumah bawah tanah yang digali oleh penduduk zaman dahulu. Cappadocia merupakan kawasan pertembungan
tiga benua – Asia, Eropah dan Afrika. Jadi apabila ada satu pihak yang ingin
menyerang, mereka akan melalui Cappadocia ataupun berperang di sini. Para
penduduk menggunakan rumah bawah tanah untuk berlindung dari serangan musuh.
Rumah-rumah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti dapur, bilik,
tandas dan sebagainya. Terdapat juga gereja-gereja kecil yang bertindak sebagai
pusat ibadah dan tempat membuat arak.
Penduduk di
sini tidak dibenarkan memasak sendiri menggunakan api kerana takut dikesan oleh
musuh. Jadi apa tindakan mereka? Mereka akan mengumpul makanan yang ingin
dimasak dan membawanya ke dapur utama. Di situlah mereka akan memasak.
Rumah-rumah ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tersusun seperti
menara dan pintu batu.
Seterusnya
kami dibawa melihat alam sekeliling untuk melihat betapa indahnya alam ciptaan
Allah. Di sini kami mengambil kesempatan untuk mentadabbur alam. Banyak yang
kita dapat belajar dari alam ini sebenarnya jika kita berfikir.
Cappadocia adalah satu kawasan yang berbatu. Manusia pada
zaman dahulu mengambil masa yang lama untuk mengukir atau membuat sebuah
bangunan dari batu tersebut sedangkan Allah cuma mengambil masa yang singkat
untuk menjadikan batu-batu tersebut. Allahuakbar! Betapa kerdilnya kita jika
dibandingkan dengan kuasa Allah.
Pada malamnya
kami berkumpul dan bermain satu permainan. Terbalikkan tikar. Haa senang je
kan? Tapi sebenarnya susah. Nak tahu macam mana? Kenalah cuba dulu. Di sinilah
kita boleh tengok sifat sebenar kawan-kawan kita. Ada yang bersungguh-sungguh,
ada yang kuat, ada yang bijak. Apa-apa pun strategi dan kerjasama amat penting.
Hari ketiga di
Turki juga merupakan hari terakhir di Cappadocia. Kami bergerak seawal mungkin
ke lapangan terbang untuk ke Istanbul. Kisah di Istanbul akan di sambung pada
entri akan datang. InsyaAllah.
Ringkasnya
Cappadocia masih lagi mengekalkan ciri-ciri bandar lama. Sangat sesuai untuk
pengembara yang cintakan alam ciptaan Allah. Mungkin juga disebabkan
pengiktirafan dari UNESCO yang menyebabkan Cappadocia masih cantik.
Lupa nak cerita satu benda. Antara tarikan utama di
Cappadocia ialah belon udara panas. Tapi disebabkan kekangan masa dan kewangan kami tidak menaiki belon
tersebut. Harganya berbeza mengikut masa. Harga normal ialah EUR 150. Bukan TL
tapi EUR. Jadi cuba bayangkan kalau ditukar kepada MYR. Agak-agak mahal tak?
Hehe...
Hot air balloon dari jauh
Ok lah. Bis
dann.
Mülheim (Ruhr), den 10.01.2014