Thursday, January 9, 2014

Jaulah II

Bismillah
Kayseri Airport

Jom ikuti perkembangan perjalanan yang seterusnya! Hari pertama di Turki, kami diterbangkan terus dari Istanbul ke Kayseri. Destinasi sebenar kami ialah Cappadocia (Kapadokya dalam bahasa Turki). Sampai sahaja di Cappadocia, kelihatan kawasan yang kurang disentuh dengan pembangunan, hanya dipenuhi pemandangan alam ciptaan Ilahi. Subhanallah. Dari jauh sudah kelihatan Gunung Erciyes (Argaeus) yang memutih diliputi salji.

Gua yang ditukar menjadi bilik
Perjalanan dari lapangan terbang ke tempat penginapan memakan masa lebih kurang sejam. Di sana kami ditempatkan di dalam gua. Yup. Gua! Bunyinya agak pelik tapi kebanyakan tempat penginapan di Göreme masih mengekalkan ciri-ciri tradisional mereka. Benda pertama yang terlintas dalam fikiran saya pada waktu itu hanyalah kesejukan yang bakal kami hadapi pada malam hari.

Tak banyak yang sempat kami lakukan pada hari pertama di Cappadocia. Oh sebelum tu… kami disambut dengan layanan yang sangat baik dari pengurus ‘gua’. Kadir namanya. Kami memulakan perjalanan selepas bersiap ala kadar. Disebabkan waktu siang yang pendek, kami cuma dibawa melawat kawasan terdekat seperti kawasan peninggalan gereja lama dan rumah merpati.

 Salah satu gereja lama yang ditukar menjadi rumah merpati

Altar dalam salah sebuah chapel 


Untuk pengetahuan anda, Cappadocia pada waktu dahulu adalah salah satu tempat pengembangan ajaran yang kini dikenali sebagai Kristian. Jadi tidak peliklah jika hampir semua kawasan dipenuhi dengan gereja. Mengikut maklumat yang kami dapat terdapat tiga peringkat gereja iaitu chapel, church dan cathedral. Chapel ialah sebuah gereja kecil yang biasanya dibuka oleh anak murid kepada paderi. Kami sempat melawat beberapa chapel pada hari pertama. Sesetengah gereja ditukar oleh penduduk tempatan menjadi rumah merpati sebab itulah ada satu kawasan yang dikenali dengan nama Pigeon Valley.

Pada waktu malam, kami berkumpul di sebuah bilik untuk beraktiviti. Teringat pula zaman sekolah menengah dulu sewaktu bersama dengan saudara pengakap. Walaupun aktiviti yang dijalankan tidaklah sama seratus peratus akan tetapi masih mampu menggamit memori silam.

Hari kedua di Cappadocia dimanfaatkan sepenuhnya dengan bersiar-siar. Perjalanan bermula seawal jam 9.00. Alhamdulillah semua memberi komitmen penuh. Antara destinasi kami ialah Underground City. Bunyinya seperti sebuah bandar tetapi ia sebenarnya rangkaian rumah bawah tanah yang digali oleh penduduk zaman dahulu. Cappadocia merupakan kawasan pertembungan tiga benua – Asia, Eropah dan Afrika. Jadi apabila ada satu pihak yang ingin menyerang, mereka akan melalui Cappadocia ataupun berperang di sini. Para penduduk menggunakan rumah bawah tanah untuk berlindung dari serangan musuh. Rumah-rumah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti dapur, bilik, tandas dan sebagainya. Terdapat juga gereja-gereja kecil yang bertindak sebagai pusat ibadah dan tempat membuat arak.

Penduduk di sini tidak dibenarkan memasak sendiri menggunakan api kerana takut dikesan oleh musuh. Jadi apa tindakan mereka? Mereka akan mengumpul makanan yang ingin dimasak dan membawanya ke dapur utama. Di situlah mereka akan memasak. Rumah-rumah ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tersusun seperti menara dan pintu batu.

Seterusnya kami dibawa melihat alam sekeliling untuk melihat betapa indahnya alam ciptaan Allah. Di sini kami mengambil kesempatan untuk mentadabbur alam. Banyak yang kita dapat belajar dari alam ini sebenarnya jika kita berfikir.
Cappadocia adalah satu kawasan yang berbatu. Manusia pada zaman dahulu mengambil masa yang lama untuk mengukir atau membuat sebuah bangunan dari batu tersebut sedangkan Allah cuma mengambil masa yang singkat untuk menjadikan batu-batu tersebut. Allahuakbar! Betapa kerdilnya kita jika dibandingkan dengan kuasa Allah.

Pada malamnya kami berkumpul dan bermain satu permainan. Terbalikkan tikar. Haa senang je kan? Tapi sebenarnya susah. Nak tahu macam mana? Kenalah cuba dulu. Di sinilah kita boleh tengok sifat sebenar kawan-kawan kita. Ada yang bersungguh-sungguh, ada yang kuat, ada yang bijak. Apa-apa pun strategi dan kerjasama amat penting.

Hari ketiga di Turki juga merupakan hari terakhir di Cappadocia. Kami bergerak seawal mungkin ke lapangan terbang untuk ke Istanbul. Kisah di Istanbul akan di sambung pada entri akan datang.  InsyaAllah.

Ringkasnya Cappadocia masih lagi mengekalkan ciri-ciri bandar lama. Sangat sesuai untuk pengembara yang cintakan alam ciptaan Allah. Mungkin juga disebabkan pengiktirafan dari UNESCO yang menyebabkan Cappadocia masih cantik.

Lupa nak cerita satu benda. Antara tarikan utama di Cappadocia ialah belon udara panas. Tapi disebabkan kekangan masa dan kewangan kami tidak menaiki belon tersebut. Harganya berbeza mengikut masa. Harga normal ialah EUR 150. Bukan TL tapi EUR. Jadi cuba bayangkan kalau ditukar kepada MYR. Agak-agak mahal tak? Hehe...


Hot air balloon dari jauh

Ok lah. Bis dann.


 Mülheim (Ruhr), den 10.01.2014

Friday, January 3, 2014

Jaulah I

Bismillah

It takes me nearly a week to write about our journey in Turkey. Disebabkan jarak masa yang agak lama, jadi sesetengah fakta mungkin tercicir. Alhamdulillah secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan kali ni. Cuma lebih seronok jika boleh dipanjangkan lagi. Hehe…

Perjalanan saya bermula pada awal pagi 23.12.2013 dengan menaiki tren bersama dengan ikhwah (baca: kawan2) yang lain. Destinasi – Stuttgart Flughafen (baca: Lapangan Terbang). Kami berkumpul dengan ikhwah lain sebelum bersama-sama bertolak ke Turki.

Sesi taklimat sebelum perjalanan

Sebelum bertolak, kami dijelaskan dengan tujuan perjalanan kali ni. Ringkasnya – untuk lebih mengenali ikhwah lain dan mengeratkan silaturahim. Kalau ditambah tolak, perjalanan saya mengambil masa hampir sehari untuk sampai ke Turki. Sungguh memenatkan tapi bila dibandingkan dengan ilmu dan pengalaman yang saya dapat, kepenatan itu beransur hilang.

Di sini ingin saya datangkan potongan dialog antara Saidina Umar al-Khattab r.a. dan seorang pemuda perihal taaruf (baca: kenal). Kalau salah, sila betulkan. Really appreciate it.

Umar : Apakah engkau kenal lelaki itu?
Pemuda : Tidak wahai amirul mukminin.
Umar : Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?
Pemuda : Tidak pernah.
Umar : Apakah engkau pernah berjiran dengannya?
Pemuda : Tidak pernah.
Umar : Macam mana engkau kenal dia?
Pemuda :  Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.
Umar : Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul-betul kenal kepadanya.

Antara pengajaran yang kita boleh ambil dari dialog ini adalah bagaimana cara kita hendak mengenali rakan kita. Salah satu cara yang ditunjuk adalah dengan bermusafir dengannya. Musafir juga mengajar kita cara-cara memimpin kerana Rasulullah s.a.w bersabda :

Apabila ada tiga orang yang keluar bermusafir,
hendaklah mereka menjadikan salah seorang daripada mereka sebagai pemimpin.*

Salah satu hikmahnya adalah ketika berlaku pertelingkahan atau perselisihan faham. Pada waktu begini lah peranan seorang pemimpin amat penting – untuk mendamaikan pendapat yang berlainan dan menjamin perpaduan. Manusia mempunyai kebolehan berfikir yang berlainan, maka sudah pasti situasi tersebut akan timbul. Andai tiada ketua dalam suatu kumpulan, nescaya hancurlah kumpulan tersebut – disebabkan perbezaan pandangan.


InsyaAllah bersambung lagi dalam entri akan datang.


Mülheim (Ruhr), den 04.01.2014

*Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2608 (Kitab al-Jihad, Bab berkenaan satu kaum yang  bermusafir…).